Wednesday, 15 August 2012

“Kenapa” Kita Perlu Menjadi Kaya? –by Nazrin Nasser-



„Aku tak suka jadi orang kaya, nanti orang cop sombong.” Selalu juga kita mendengar, „Bangsa lain tak kisah kaya pun, halal dan haram semua boleh dilanggarnya”. „Memang nasib kami dilahirkan dalam keluarga miskin dan sederhana. Tuhan dah menentukan”. Ada juga kata-kata untuk menyedapkan hati, „Baik aku kerja makan gaji saja. Senang buat pinjaman, duit pencen pun ada. Kalau swasta, gaji lagi tinggi”. „Kenapa hendak berniaga? Nanti kalau rugi bagaimana?”

Banyak lagi respons daripada orang yang saya jumpa apabila bertanya pendapat atau berkongsi tentang perniagaan dan kewangan. Inilah fenomena yang berlaku kepada kebanyakan masyarakat di Malaysia. Mereka telah „diancam” untuk tidak melakukan perubahan dalam hidup. Bahkan seolah-olah merelakan kehidupan diri dihanyut dan ditentukan oleh pihak kerajaan dan majikan semata-mata.

Semasa saya belajar dalam sistem akademik, pemikiran jenis inilah yang biasa diterapkan. „Pergi ke sekolah, belajar rajin-rajin, dapat keputusan yang cemerlang, nanti boleh kerja dengan syarikat besar atau gaji yang lebih tinggi, peluang untuk kenaikan pangkat lebih cerah”.

Jika anda ada kenalan yang bekerja, cuba ajukan soalan ‘emas’ kepada mereka. “Cukupkah gaji yang kau dapat sekarang?” Anda pastinya akan dapat jawapan yang agak mengecewakan. Sistem ekonomi dan kewangan dunia sekarang menjadikan orang kaya semakin kaya, orang miskin dan sederhana semakin terhimpit.

Saya adalah pelajar lepasan diploma bidang Pengurusan. Kehidupan sebagai seorang pelajar dalam bidang Pengurusan sangat seronok. Pelajar-pelajar selalu dibuai mimpi oleh pensyarah dan rakan bahawa jika kami graduasi dengan cemerlang, paling kurang akan menjawat posisi eksekutif dalam kerjaya nanti. Jika bernasib baik, boleh jadi pengurus jabatan-jabatan tertentu. Gaji sangat lumayan.
Percaya atau tidak, saya boleh katakan ini adalah antara kisah mitos yang menarik. Sehingga sekarang masih ada penglipur lara yang sentiasa menceritakannya.



Berbalik kepada persoalan asal. Kenapa kita perlu menjadi kaya? Masing-masing ada jawapan tersendiri. Jika tanya saya secara peribadi, saya sudah bosan dengan hidup yang sentiasa dalam kesempitan wang. Walaupun dalam tempoh masa yang singkat, beberapa bulan saya mula bekerja, itu sudah cukup untuk membuat saya menderita. Melalui liku-liku yang saya lalui ini, membuat saya mengeluh sendirian. “Sampai bila aku mahu hidup seperti ini?”

“Bersyukurlah dengan apa yang ada. Kau bertuah. Ibu kerjaya doctor, ayah pula engineer. Ramai orang lagi susah sampai hendak makan sekali sehari belum tentu ada.” Saya tersenyum. Teringat satu kata-kata. „Kemiskinan juga akan lebih dekat dengan kekufuran”. „Sesungguhnya meninggalkan keturunanmu dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada meminta-minta”. „Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah”.

Saya telah melihat kehidupan ibu dan ayah saya, bekerja sebagai golongan profesional bukanlah tergolong daripada kekayaan. Akan tetapi ia hanyalah suatu tiket untuk mendapat gaji yang tinggi. Bukannya “kebebasan kewangan” seperti yang dinikmati oleh golongan pemilik perniagaan besar dan pelabur.

Orang kaya yang baik pasti akan memberi jaminan yang cerah kepada sesebuah masyarakat. Mereka selalunya akan menubuhkan yayasan untuk membantu orang miskin, anak yatim, orang kurang upaya, orang sakit, pelajar dan sebagainya. Bukalah minda kita. Inilah sebabnya kenapa kita sebagai salah seorang yang perlu menjadi kaya. Perkataan “perlu” menegaskan bahawa kita mesti mempunyai sebab yang kuat untuk mendorong kita menjadi kaya.
Bukan kesalahan anda jika dilahirkan dalam kemiskinan. Akan tetapi jika anda mati dalam kemiskinan, itu adalah kesalahan besar untuk anda” –Bill Gates, founder of Microsoft-
There was an error in this gadget