Sunday 8 April 2012

Himpunan 11 Formula Kejayaan -Irfan Khairi-

Assalamuaikum dan salam sejahtera. Kali ini saya ingin berkongsi tips daripada ikon jutawan internet muda di Malaysia, Irfan Khairi. Artikel ini saya ambil daripada majalah IK vol 2, April 2012:



Untuk mencapai sesebuah kejayaan, atau matlamat yang diimpikan, kita perlu mencorakkan kehidupan seharian dengan lebih teratur dari biasa. Cara untuk mempunyai hidup yang teratur adalah dengan mempunyai formula ini yang selalu saya praktikkan dalam kehidupan seharian saya.Jom kita sama-sama mengamalkannya.

1. Keinginan

Pertama sekali di dalam formula kejayaan adalah keinginan. Untuk mencapai kejayaan yang tinggi anda perlu mempunyai keinginan untuk mencapai matlamat tersebut. Lagi mendalam keinginan anda, lagi mudah untuk anda mencapai matlamat tersebut. Keinginan umpama api yang membakar. Lagi besar api tersebut, lagi hangat ia akan membakar keinginan jiwa anda dalam mencapai apa jua cita-cita yang anda letakkan untuk diri sendiri. Punca utama seseorang tidak mencapai matlamatnya adalah takut kepada 'kegagalan' maka, anda tidak akan mengambil langkah pertama untuk mencapai apa jua matlamat.

2. Keyakinan

Lagu yang sering bermain di kepala saya sejak dulu sehingga kini adalah, "Jika kau fikirkan kau boleh, kau pasti boleh melakukan, jika kau fikirkan ragu-ragu, usahamu tidak menentu". Lagu yang popular pada 80-an. Lagu yang simple ini mengandungi mesej yang sangat besar! Dalam usaha untuk mencapai apa jua cita-cita, anda perlu mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa ia akan tercapai! Dengan itu, ia akan menjadi penggerak kepada diri anda untuk tidak menoleh kebelakang lagi. Keyakinan bukan bermaksud untuk menjadi bongkak dan taksub... anda tidak perlu meyakinkan orang ramai. Anda hanya perlu meyakinkan diri anda sahaja. Usah risau dalam meyakinkan orang ramai... anda perlu tunjuk bahawa cita-cita anda tercapai- itu sahaja untuk meyakinkan orang ramai. Dalam menetapkan matlamat anda, perlu realistik. Ia pasti membantu memotivasikan anda untuk memberi keyakinan. Sebagai contoh, matlamat untuk mendapat kenaikan gaji 2 kali ganda dalam setahun mungkin tidak realistik. Tetapi, matlamat untuk menaikkan 20% dalam masa setahun adalah lebih realistik. Matlamat yang tidak realistik hanya akan melemahkan motivasi diri anda apabila ianya tidak tercapai.

3. Tulis matlamat anda

Ini AMAT penting, setiap kali saya membuat 'talk' di serata tempat seluruh Malaysia, sering saya ulangi petua ini. Di dunia, hanya 2% golongan dewasa yang menulis matlamat mereka sendiri. Baki 98% yang lain mungkin tidak mempunyai matlamat hidup, ataupun, sekiranya ada, mereka tidak menulisnya. Menulis matlamat anda adalah seperti anda membuat perjanjian dengan diri sendiri. Matlamat tersebut akan tersemat di fikiran anda dan sentiasa mengingati anda secara sedar, ataupun separa sedara untuk anda merealisasikannya. Matalamat yang tidak tertulis adalah seumpama angan-angan sahaja. Apabila anda menulis matlamat, ia menjadi sesuatu yang nyata- yang boleh disentuh. Anda telah membawa matlamat di imaginasi anda kepada bentuk yang boleh digenggam!

4. Senaraikan kebaikan yang anda kecapi

Apa yang anda dapat sekiranya matlamat anda tercapai? Senaraikan segala-galanya. Lagi panjang senarai anda, lagi bagus. Ini disebabkan anda telah menyenaraikan motivasi-motivasi yang akan membakar semangat anda untuk mencapai kebaikan tersebut! Manusia adalah insan yang beremosi. Dengan memikirkan kebaikan yang anda kecapi, ia akan memandu anda ke arah mencapai matlamat tersebut. Berikan sebab-sebab kenapa anda mahukan matlamat anda tercapai, apakah pulangan yang akan diterima, serta bagaimanakah tahap kepuasan anda sekiranya matlamat itu tercapai- ini akan menyemarakkan lagi semangat untuk membuktikannya.

5. Cerminkan diri sendiri

Di mana anda berada ketika ini? (bukan di bangku atau di sofa!). Pada ketika ini, apakah keadaan anda? Perlu ketahui di mana anda berada kini untuk mencapai matlamat yang anda tetapkan. Pastikan anda ketahui kerana itu adalah titik permulaan perjalanan anda. Lebih jelas anda dapat fahami keadaan anda kini, lebih jelas pula anda dapat melihat jalan ke arah pencapaian matlamat. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin bebas kewangan, duduk dan ambil masa untuk melihat keadaan kewangan anda kini secara jujur. Sekiranya matlamat anda adalah untuk menurunkan berat badan, anda perlu ketahui berat badan anda kini sebagai titik permulaan.

6. Tetapkan deadline

Matlamat tanpa deadline adalah tidak lengkap. Apa jua matlamat yang ditetapkan, tetapkan juga deadline untuk mencapainya. Bilakah deadline yang terbaik? 6 bulan? 1 tahun? 3 tahun? 5 tahun? Atau 10 tahun? Kebanyakan orang tidak meletakka deadline kerana takut matlamat tersebut tidak dapat dicapai sebelum waktu penamat itu! Jadi, sekiranya tidak tercapai, ia akan mengurangkan motivasi sendiri... oleh itu, mereka membiarkan tarikh untuk mencapai matlamat tersebut terbuka pada bila-bila masa sahaja! Itu adalah pemikiran yang salah. Dengan menetapkan deadline untuk matlamat anda, anda memberi satu sasaran yang jitu. Apa akan terjadi sekiranya anda tidak berjaya mencapai matlamat sebelum tarikh deadline? Senang sahaja... berikan satu tarikh deadline yang baru! Ia akan mengajar anda untuk lebih berusaha dan lebih realistik dalam mencapai matlamat.

7. Ketahui rintangan

Dalam mencapai apa jua yang berbaloi, sudah pasti akan terdapat rintangan di hadapan anda. Lagi besar matlamat anda, lagi besar rintangan yang perlu dilalui. Ketahui rintangan-rintangan tersebut dan pelajari cara-cara untuk menempuhinya terlebih dahulu. Anggap usaha anda dalam mencapai matlamat adalah  satu perjalanan mencari ilmu. Setiap rintangan yang anda lalui walau sekecil manapun akan memperbaiki diri anda untuk menghadapi rintangan-rintangan yang besar di masa hadapan. Ini menjelaskan bahawa, mereka yang berjaya di dunia adalah tergolong daripada mereka yang berpengalaman menghadapi rintangan-rintangan tersebut. Kejayaan yang cemerlang akan hadir apabila anda berjaya menguasai segala rintangan. Oleh itu, lakukan perancangan terlebih dahulu. Senaraikan apakah rintangan-rintangan yang akan muncul.

8. Perancangan

Kata pakar motivasi, "Gagal untuk merancang adalah merancang untuk gagal". Jangan biarkan nasib menentukan arah tuju anda. Buat perancangan yang rapi- seperti kontraktor memerlukan pelan untuk membina bangunan yang gagah berdiri. Anda juga perlu pelan untuk mencapai menara gading. Rancang langkah-langkah anda dengan terperinci- dalam masa 1 bulan, apa yang anda perlu buat? Sekiranya tidak menjadi, apakah alternatif lain? Hukum alam mengatakan, apa yang anda beri dan taburkan, ia akan menjadi hasil. Sekiranya anda merancang untuk taburkan sedikit usaha, maka sedikitlah pulangan anda. Sekiranya anda merancang untuk taburkan bergunung-gunung usaha, maka hebatlah pulangan anda. Anda tidak boleh melanggar hukum ini. Mereka yang melanggar hukum ini adalah mereka yang sering ditipu dengan skim-skim piramid, skim cepat kaya, SCAM dan pelaburan yang hanya akan meleburkan wang anda sendiri.

9. Ilmu tambahan

Ketahui ilmu tambahan yang perlu anda lengkapkan pada diri anda untuk mencapai cita-cita tersebut. Manusia diberi anugerah akal fikiran yang paling istimewa sekali. Bina satu senarai- apakah ilmu tambahan yang perlu ada untuk mencapai matlamat anda? Apakah pengalaman yang anda perlukan? Bolehkah anda mendapat bantuan orang lain sekiranya anda tidak mempunyai sesuatu kebolehan itu? Apakah maklumat paling penting atau kebolehan paling penting yang mesti dipunyai dalam mencapai matlamat anda? Ia adalah tanggungjawab anda!

10. Bina gambaran

"A picture paints a thousand words". Beri gambaran yang jelas pada fikiran anda bahawa matlamat anda telah tercapai. Gambarkan diri anda 1 tahun dari sekarang. Atau 10 tahun dari sekarang. Dengan berimaginasi gambaran anda berjaya di masa hadapan, ia juga dapat membakar semangat. Fikiran manusia dipenuhi dengan gambaran dan bukannya perkataan. Penuhi fikiran anda dengan kejayaan anda di masa hadapan. Berhati-hati, terlalu banyak mimpi di siang hari tanpa usaha dan perancangan, anda tidak jauh berbeza dengan angan-angan Mat Jenin!

11. Janji pada diri sendiri

Janji pada diri anda sendiri, tidak kira apa juga rintangan yang akan datang. Tidak kira apa jua kegagalan yang anda hadapi, jangan... JANGAN, JANGAN sesekali berputus asa! Sekiranya anda terjumpa dengan sahabat karib kejayaan, iaitu kegagalan- usah risau. Kegagalan adalah perintis untuk mencapai apa jua kejayaan. Oleh itu saya gelarkan sahabat karib. Amat jarang sekali sesuatu kejayaan dicapai tanpa kegagalan. Lagi banyak kegagalan yang anda temui, ianya bermaksud lagi hampirlah anda kepada kejayaan anda. Jangan berputus asa oleh kerana kejayaan mungkin sedang menunggu di sebalik kegagalan itu. Berita baiknya adalah, menempuh kegagalan akan menambahkan pengalaman sendiri. Lebih banyak kegagalan yang dihadapi, maka lebih banyak hal yang anda dapat pelajari. Sekiranya anda menjumpai kegagalan, ubah cara anda. Jangan pula ikut cara yang sama. Kerana cara yang sama akan membawa kegagalan seterusnya!

Akhir kata, Salam Inspirasi Kejayaan daripada saya,

Irfan Khairi.

"Kejayaan tidak datang kepada anda? Anda pergi kepadanya." -Marva Collins-

No comments:

Post a Comment