Wednesday 26 December 2012

Berbelanja mengikut kemampuan, atau tambahkan pendapatan. -by Nazrin Nasser




Ketika bahagian ini ditulis, saya sebenarnya baru mengajar seorang kawan tentang asas pengurusan kewangan peribadi. Saya rasa sangat bertuah kerana selepas berjaya mendidik diri sendiri berkenaan asas kewangan, beliau adalah orang seterusnya. Saya senang berkongsi sesuatu perkara bersamanya kerana semasa belajar di kolej, kami sangat rapat.

Jika tersenarai dalam orang yang memerlukan bantuan kewangan, beliau adalah yang paling layak. Kehidupan keluarganya antara yang tergolong dalam kemiskinan tegar. Pendapatan ayahnya yang tidak menentu, bilangan ahli keluarga yang ramai, menyebabkan beliau menjadi tempat bergantung yang kedua selepas ayahnya. Syukur pada Tuhan, anak muda graduan diploma pengurusan ini mendapat jawatan Front Desk Reception di Vistana Hotel, Penang. Gaji yang diterima adalah ‘standard’ kelayakan diploma masa itu (RM1,XXX dan ke atas).

Masalah yang selalu dihadapi oleh beliau ialah “tidak cukup wang” sebelum sampai giliran gaji bulan hadapan. Saya sendiri pernah mengalaminya dan saya amat yakin semua orang pernah melalui detik yang sangat membebankan ini. Tidak kira sama ada anda sebagai pelajar yang mendapat pinjaman pendidikan juga tidak terlepas daripada fenomena ini. Saya beri sedikit formula ringkas untuk anda faham.



Aliran Wang Masuk – Aliran Wang Keluar = Pendapatan Bersih

Secara asasnya, gaji atau pendapatan sampingan adalah aliran masuk manakala perbelanjaan adalah aliran keluar. Anda hanya perlu pastikan wang masuk lebih banyak daripada wang keluar. Itu sahaja. Hanya itu cara untuk mencapai “kebebasan kewangan”.  Jika pendapatan anda RM2,500 sebulan tetapi hanya berbelanja RM2,000 sebulan atau kurang, anda berpotensi untuk lebih kaya daripada orang yang berpendapatan RM25,000 tetapi berbelanja hampir RM30,000 sebulan.

Bunyi macam tidak masuk akal. Akan tetapi itulah hakikatnya. Berapa ramai orang yang bekerja atau berniaga sekarang hanya semata-mata untuk mengkayakan pihak lain. Mereka membelanjakan pendapatan yang diperoleh setelah bekerja bermati-matian, hanya untuk membayar hutang dan bil-bil serta membeli sesuatu yang mereka sendiri tidak perlukan. Bagi yang memiliki kad kredit, jika anda mengunakannya tanpa perancangan kewangan yang betul, anda sedang menuju ke arah jerat hutang “snowball”. Iaitu terpaksa membayar kadar faedah yang tinggi melebihi kadar asal hutang tersebut.

Sebagai contoh, trend masa kini yang paling ketara dapat saya lihat, penggunaan “technology gadjet” serta fesyen pemakaian. Saya tidak rasa anda memerlukan apple i-pad jika anda sudah mempunyai laptop atau notebook yang mudah dibawa ke mana-mana, asalkan ada sambungan internet. Lebih parah lagi apabila anda membeli dengan bayaran ansuran. Ianya sangat merugikan kerana harga gadjet ini pasti jatuh dengan mendadak apabila model baru dilancarkan. Begitu juga para wanita yang ingin menambah koleksi pakaian apabila satu atau dua almari besar yang sudah penuh. Ada juga pelajar yang sanggup menahan perbelanjaan setiap bulan semata-mata untuk bayar ansuran motosikal berkuasa tinggi Kawasaki ZX-2 250cc dan ER6 650cc.

Apakah nikmat hidup ini jika setiap kali kita mendapat wang pada awal bulan akhirnya habis sebelum sampai hujung bulan? Tanpa disedari ke mana wang itu pergi, ia hanya menjadi tempat untuk bertukar tangan sahaja pada kita. Jika anda memerlukan kata-kata keramat untuk masalah ini, saya ingin mewasiatkan kepada anda. Kata-kata ini juga saya ambil daripada orang-orang kaya yang sudah terbukti mencapai status “millionaires” dan “billionaires”.
“Berbelanjalah di bawah kadar kemampuan anda” –Anonymous-

Tidak mampu menahan diri daripada berbelanja berlebihan dan hendak hidup mewah seperti orang kaya? Boleh. Tidak ada masalah. Sebenarnya tidak salah untuk mengamalkan gaya hidup sebegitu. Tapi dengan satu syarat. Anda mesti menambahkan pendapatan atau aliran wang masuk berganda. Jika tidak, lupakan hasrat itu.

Cara untuk hidup mewah adalah menambahkan asset anda – bukan rumah dan kereta-kereta – tetapi asset. Masalah kebanyakan orang ialah mereka tidak ada pendidikan kewangan yang betul. Mereka tidak tahu perbezaan asset dan liability dan terus membeli labiliti yang disangkakan asset, seterusnya membuatkan mereka hidup di bawah kemampuan dan menghadapi kesulitan.

Jika anda berada dalam kategori pekerja (E), maka pendapatan anda terhad. Apa yang anda boleh lakukan ialah menambahkan pendapatan dengan bergerak ke bahagian B dan I. Orang kaya biasanya akan membeli kereta mewah dan membayar ansuran, bukan daripada duit poket mereka sendiri. Tetapi daripada duit poket orang lain.

Sebagai contoh, penyewa membayar sewa ke atas hartanah yang dilaburkan. Maka hasil sewaan itu digunakan untuk membayar ansuran kereta. Ataupun cukai perkhidmatan yang dikenakan ke atas pelanggan di restoran-restoran francais mereka. Perbelanjaan ansuran tersebut diletakkan dalam kategori perbelanjaan syarikat dalam penyata kewangan, maka ia tidak menjejaskan pendapatan bersih mereka.

No comments:

Post a Comment