Tuesday 18 September 2012

Simpanan: Mulakan Hari Ini! -by Nazrin Nasser-



SAVINGS: JUST DO IT NOW!

Suka saya mengambil petikan soalan daripada penulis buku Jutawan dari Planet Jupiter, Azizi Ali. “Tanpa menyimpan, segala perbincangan tentang pelaburan, pasaran saham dan hartanah tidak akan kesampaian. Bagaimana seseorang boleh melabur jika poketnya kosong? Bagaimana seseorang dapat mengambil kesempatan daripada saham dan hartanah yang murah tanpa wang?”

Ya. Saya juga semasa tidak belajar ilmu kekayaan, melakukan perkara yang sama; tidak menyimpan wang. Kalau simpan sekalipun, bila ada lebihan daripada wang yang tidak dibelanjakan. Maksudnya, meletakkan keutamaan menyimpan wang  daripada pendapatan di tangga yang paling bawah. Saya juga pernah mendapat “durian runtuh” (hasil simpanan dana pendidikan oleh ibubapa). Dalam masa tidak sampai satu tahun, wang tersebut habis dibelanjakan. Meskipun saya menggunakan untuk tujuan yang baik iaitu menjalankan perniagaan. Ini adalah kesan jika anda tidak mahir dalam ilmu pengurusan kewangan peribadi.

“Kalau begitu, kenapa perlu saya simpan? Buat penat badan saja. Lama-lama wang itu akan habis diguna juga.” Anda boleh bagi pelbagai sebab untuk sedapkan hati anda dan memberi lesen kepada diri anda untuk terus berbelanja tanpa had. Akan tetapi anda mesti ingat, orang yang mendapat wang yang banyak secara tiba-tiba biasanya akan habis juga dengan tiba-tiba kerana mereka tidak pernah ada pengalaman berjimat dan menyimpan wang. Jika sebaliknya apabila anda sudah biasa dengan pengurusan kewangan yang betul, walau sebanyak mana wang yang anda dapat, percayalah ia tidak akan dihabiskan dengan sia-sia. Sebab anda tahu betapa peritnya berjimat dan menyimpan.

Saya tidak perlu banyak untuk menyimpan. Cukuplah sekadar sepuluh peratus (10%) daripada pendapatan kita. Sebagai permulaan, saya yakin anda dapat lakukannya. Contohnya, jika gaji anda selepas graduan ijazah berjumlah RM2,300. Ambil 10 peratus daripada gaji (katakan RM2,000 selepas ditolak EPF dan Socso) iaitu RM200. Jangan sentuh langsung wang ini selama sebulan kehidupan anda. Bayangkan jika anda konsisten menyimpan selama 12 bulan setiap tahun. Jumlah keseluruhan RM2,400 setahun. 10 tahun kemudian akan menjadi RM24,000. Jika 20 tahun? RM48,000!

Ia tidak termasuk dividen yang bakal diterima jika anda menyimpan dalam amanah saham atau unit amanah. Biasanya dalam lingkungan 8 ke 10 peratus setahun. Anda jangan lupa bahawa anda dan majikan juga mencarum untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setiap bulan selagi anda masih bekerja.

Bagaimana jika anda berniaga atau bekerja sendiri tanpa pendapatan tetap? Gunakan teknik yang sama. Bermula dengan 10 peratus hasil daripada SEMUA perniagaan yang anda untung pada hujung bulan. Mungkin ada dua atau tiga jenis perniagaan yang dijalankan serentak. Andaikan satu perniagaan anda simpan RM100. Jika tiga perniagaan sudah mencecah RM300 sebulan. Maka jumlahnya akan menjadi RM3,600 setahun dan RM36,000 dalam masa 10 tahun!

Peraturan dalam menyimpan wang adalah; 1) simpan untuk dilupakan 2) tambahkan peratus simpanan jika pendapatan perniagaan atau gaji anda bertambah. Biarkan wang yang anda simpan dan labur itu “beranak” dengan sendiri. Peraturan yang ketiga- Jangan menyimpan terlalu banyak wang. Peliknya. Tadi beriya sangat suruh menyimpan. Kebanyakan pelabur yang bijak tidak mempunyai simpanan yang banyak dalam bentuk tunai kerana mereka tahu keadaan ekonomi dunia dan nilai matawang sekarang. Ya! Simpan emas dan perak secara optimum.

“Kekayaan bukan bererti berapa banyak pendapatan kita, tetapi berapa banyak kita dapat menyimpan pendapatan kita”  -Irfan Khairi, ikon jutawan perniagaan internet Malaysia-

No comments:

Post a Comment